Saturday, 21 October 2017

Strategi popularkan nasi maghoh ngaat, Bagaimana?

 Nasi maghoh ngaat dijual pada harga RM5 sebungkus.


POPULARITI nasi maghoh ngaat (nasi marah sangat) yang dipopularkan oleh Aleesya Cafe menyebabkan hampir setiap hari, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi kafe yang terletak di Taman Permai Jaya, Batu 2 ½, Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu itu. 
Selain penduduk setempat, ada yang datang dari jauh termasuklah Kuantan, Pahang semata-mata untuk menikmati kelazatan Nasi Maghoh Ngaat.
Pemilik Aleesya Cafe, Rishaal Ilyanna Mohd. Rawi, 37, berkata, strategi beliau menamakan menu utama kafenya yang dibuka sejak dua tahun lalu itu sebagai nasi maghoh ngaat membuahkan hasil.
Beliau berkata, maghoh ngaat dalam loghat Kelantan bermaksud marah sangat. Ia juga membawa pengertian pelanggan restorannya mahu mengulangi pembelian selepas pertama kali menikmati nasi tersebut.
Bungkus
“Kami menjual sekurang-kurangnya 300 bungkus nasi maghoh ngaat sepanjang kafe beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kafe tersebut baru-baru ini.


Rishaal Ilyanna menunjukkan nasi maghoh ngaat yang popular di Restoran Aleesya Cafe di Kemaman, Terengganu.




Rishaal Ilyanna yang berasal dari Peringat, Kota Bahru, Kelantan memberitahu, konsep menu tersebut sama seperti nasi dingin iaitu nasi putih berlauk ayam atau daging goreng bersama kuah gulai, hirisan timun, ikan kering dan sambal belacan.
Begitupun katanya, ia disesuaikan dengan selera penduduk tempatan, Kemaman yang lebih gemar menikmati nasi campur panas-panas.
“Sehubungan itu, kami sentiasa memastikan nasi putih, ayam dan daging goreng serta kuah gulai yang merupakan bahan asas nasi maghoh ngaat sentiasa panas sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
“Selain itu, menu ini dibungkus menggunakan kertas minyak biarpun ia dinikmati di restoran. Ia bagi mengekalkan keaslian dan cita rasa terutamanya gulai yang memang lebih sedap jika menyerap ke dalam nasi,” katanya.


Rishaal Ilyanna (tiga dari kiri) bersama kakitangannya mengalu-alukan pelanggan ke Aleesya Cafe di Jalan Air Putih, Kemaman.



Rishaal Ilyanna berkata, rata-rata pelanggannya menyukai nasi maghoh ngaat kerana kerangupan ayam dan daging yang dimasak dengan resipi istimewa. Hidangan tersebut dijual pada harga RM5 sebungkus bersama teh O ais atau sirap ais yang diberi secara percuma.
“Kami juga menyediakan ikan bakar, sotong bakar, pajeri nanas, telur dadar dan telur masin, serta gulai kaki ayam sebagai pilihan lauk tambahan kepada pelanggan,” katanya.
Selain nasi maghoh ngaat, Aleesya Cafe turut menawarkan nasi kerabu, nasi lemak, hidangan ala Barat, makanan laut dan sajian ringan seperti roti bakar.
“Aleesya Cafe juga menyediakan ruang dengan pendingin hawa untuk keselesaan pelanggan terutamanya kepada mereka yang mahu mengadakan majlis-majlis keraian,” ujarnya.

IKLAN
Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat.

Usahawan Jubah Bergelar 'Datuk', Ditahan..


KISAH usahawan jubah ini pernah tular di media sosial suatu masa dulu apabila beliau mendakwa mampu capai sales sebanyak RM2 juta dalam tiga hari hasil jualan pakaian lelaki berkenaan.

Apa uniknya, jubah tersebut dikatakan hanya sesuai untuk lelaki bertubuh sado sekali gus mengundang kritikan ramai yang tidak berpuas hati dengan reka bentuk pakaian tersebut.
Bagaimanapun, kali ini usahawan tersebut sekali lagi menjadi bahan bualan panas apabila sebuah laman Facebook mendakwa beliau telah ditahan kononnya kerana seorang ‘kaki auta’.
Menurut akaun dikenali dengan nama, Pseudoscience Watch, lelaki itu yang juga murid kesayangan kepada seorang penceramah motivasi terkenal negara didakwa telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, admin laman sosial tersebut dilihat tidak pula mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai masa dan lokasi kejadian penahanan tersebut berlaku.
Susulan itu, perkara berkenaan secara tidak langsung telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen yang terus-menerus mempersoalkan kenapa usahawan tersebut dicekup polis
Setakat ini, kesahihan mengenai berita berkenaan masih lagi tidak dapat dipastikan dan mungkin akan dilaporkan sekiranya ia adalah benar.  Lapor MYNEWSHUB.CC/AM

Friday, 20 October 2017

Burger Malaysia Kini Terkenal Di Kota New York!


Burger Malaysia Kini Terkenal Di New York!

BURGER adalah antara makanan simple yang diminati semua lapisan masyarakat. Jadi, tidak hairanlah banyak restoran segera yang menyelitkan burger sebagai menu wajib mereka.

Namun, tidak semua orang memilih burger dari restoran makanan segera, sebaliknya lebih memilih burger jenis biasa yang lazim dijual di gerai mahupun warung di tepi jalan.
Tetapi tahukah anda kini burger Malaysia atau lebih dikenali dengan nama ‘Burger Ramly’ sedang popular di New York, Amerika Syarikat?
Ya, burger yang disaluti telur itu kini makin mendapat tempat di hati penduduk di sana apabila Insider Food memuat naik video mengenai ‘burger special‘ itu di laman sosialnya.
“Di Malaysia, kami biasanya memanggil burger tersebut sebagai Burger Ramly, tapi di sini kami panggil burger gaya Malaysia,” kata pemilik The Malaysian Project, Calvin Leong kepada Insider Food dalam satu laporan video yang disiarkan mereka.
Namun, burger ini tidak menggunakan penambah perasa Maggi dan sos cili yang selalu digunakan di Malaysia, sebaliknya mereka menggunakan rempah kari, mayonis pedas serta sos Worcestershire.
“Ia pedas, sedap dan dipenuhi banyak perasa umami (manis, masam dan masin) serta dibungkus. Saya makan burger ini sejak kecil. Burger ini boleh didapati di mana-mana di Malaysia,” tambah Calvin lagi.
Kumpulan The Malaysian Project telah menjual burger special itu dengan harga AS$12 atau kira-kira RM51 di beberapa tempat sekitar bandar raya New York.
Menurut Insider Food, The Malaysian Project banyak terlibat dalam kebanyakan festival yang diadakan di New York City. Burger ini juga malah boleh didapati di Pasar Malam Queens di sana.
Siapa kata makanan Malaysia tidak boleh dibanggakan? Tengok sahaja permintaan yang tinggi terhadap burger ini di sana.
Disebabkan makanan Malaysia jugalah ada orang asing yang dari luar negara sanggup datang tinggal di Malaysia seperti Rhys William, seorang blogger makanan yang kini menetap di Malaysia. – MYNEWSHUB.CC

Thursday, 19 October 2017

Filem Tombiruo Raih Lebih RM2 Juta Dalam 4 Hari


Baru empat hari ditayangkan di pawagam, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel Ramlee Awang Murshid sudah berjaya meraih kutipan lebih RM2 juta.

Filem bergenre aksi drama itu ditayangkan di 115 pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.
Memetik kenyataan dikeluarkan Astro Shaw Sdn Bhd pada hari ini, ramai penonton memberikan respon positif menerusi perkongsian di media sosial mengenai filem berkenaan.
Tombiruo ketika ini juga berada di tangga kedua untuk carta filem GSC (Golden Screen Cinema) dan sekaligus mengetepikan filem-filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.
Selain itu, video Tayangan Perdana filem Tombiruo : Penunggu Rimba juga mendapat perhatian umum apabila video berdurasi 25 minit ini berada di nombor enam dalam kategori video tular di Youtube.
Sesi jelajah filem
Barisan pelakon tanah air yang menjayakan filem ini adalah Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Dato’ M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al-Rayyan.
Mereka juga akan menemui penonton di sebelah selatan bagi sesi jelajah filem ini selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Oktober 2017 ini.
Sementara itu, Ramlee berkata, beliau bersyukur Tombiruo berjaya mencatatkan kutipan memberangsangkan tatkala perkembangan industri tanah air mempunyai pasang dan surut tidak menentu.
“Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya Tombiruo : Penunggu Rimba dilihat diterima oleh kebanyakan penonton. Kami amat menghargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi.
“Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam. Tambahan pula minggu ini telah bermula cuti sekolah dan cuti umum bakal tiba Rabu ini,” katanya.
Lelaki bertopeng
Tombiruo : Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim yang digelar sebagai Tombiruo, (watak dilakonkan Zul Ariffin) kerana dianggap sebagai penjaga rimba.
Dalam cerita itu, Tombiruo disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.
Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.
Sementara itu, Amiruddin (Farid Kamil) menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. ‘
Pergelutan diantara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.
Dalam sejarah perfileman tanah air setakat ini, terdapat tujuh buah filem yang dapat mencapai kutipan sepanjang tempoh tayangan melebihi RM10 Juta iaitu KL Gangster, Ombak Rindu, The Journey, Polis EVO, Ola Bola, Munafik dan BoBoiBoy: The Movie.
Filem Sembilu 2 menjadi filem pertama yang mencapai kutipan lebih RM6 Juta pada tahun 1995. Sementara itu, filem Ngangkung pula ialah filem pertama yang mencapai kutipan melebihi RM8 Juta pada tahun 2010.
Manakala pada tahun 2011, filem KL Gangster merupakan filem pertama yang mencapai kutipan RM10 Juta.-Malaysiakini

Tuesday, 17 October 2017

Tony Fernandes kahwini gadis Korea.


TONY dan isterinya, Chloe bergambar bersama Rafidah (kiri) di sebuah resort di Cote d’Azur, tenggara Perancis baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya yang dikenali sebagai Chloe dari Korea Selatan di Perancis baru-baru ini.
Kedua-dua mereka dilaporkan melangsungkan perkahwinan di sebuah resort di Cote d’Azur atau lebih dikenali sebagai French Riviera di tenggara negara tersebut.
Majlis istimewa itu turut dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan rapat termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Beberapa keping gambar perkahwinan mereka tersebar di laman media sosial apabila ia dikongsi oleh ramai pengguna menerusi aplikasi WhatsApp. (Kosmo)

Sunday, 15 October 2017

7 Produk Kosmetik Dikesan Mengandungi Racun - NPRA/KKM


PENGGUNA
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:
Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.
PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaranproduk-produk kosmetik ini adalah melanggar PeraturanPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepadakosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/
Sila klik di sini untuk : Lampiran A
http://mrem.bernama.com/pdf/LampiranProduk.pdf
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my
-BERNAMA

Saturday, 14 October 2017

Lagi, Ratusan Staf Dipecat, Jualan Merudum Di S'pura.


SINGAPURA – Firma media cetak terbesar Asia, Singapore Press Holdings (SPH) milik pemerintah terpaksa membuang 230 pekerja menjelang akhir tahun ekoran jualan akhbarnya merosot teruk!

Dalam kenyataan dipetik agensi berita AFP, gergasi surat akhbar terkemuka yang memonopoli penerbitan akhbar di republik itu sejak berpisah daripada Malaysia pada 1965; turut merancang memberhentikan ratusan lagi staf.
SPH mendakwa, seperti organisasi media lain di seluruh dunia, perniagaan akhbar yang merupakan teras syarikat itu terjejas akibat berita online, dengan pendapatan daripada pengiklanan dan pengedarannya pula kian merosot.
Hampir separuh daripada 400 kakitangan yang bakal diberhentikan sudah diberitahu tentang rancangan tersebut. Pihak SPH dilaporkan pada mulanya merancang untuk hanya berbuat demikian sebelum akhir tahun 2018 depan.
Namun ia mengumumkan langkah drastik itu terpaksa dibuat akhir tahun ini. Pada 1 Oktober lalu, SPH tutup akhbar kompak popular percuma TODAY yang diterbitkan sejak tahun 2000 dan beralih kepada platform online.
Ia ekoran edarannya jatuh dan kini hanya 300,000 naskhah sehari. Tahun lalu, SPH terpaksa menggabungkan harian The New Paper dan My Paper untuk menjadi akhbar dwibahasa Inggeris dan Cina diedarkan percuma.
SPH ketika ini menerbitkan 17 judul akhbar antaranya The Straits Times, Berita Harian, Lianhe Zaobao dan Tamil Murasu, selain beberapa portal berita terkenal seperti Stomp serta mengendalikan tiga stesen radio tempatan.
 BANGUNAN IBU PEJABAT SINGAPORE PRESS HOLDINGS DI TOA PAYOH, SINGAPURA
Dengan modal pasaran S$6 bilion (RM18.2 bilion) – lebih dua kali ganda daripada nilai modal syarikat akhbar terkemuka Amerika Syarikat, The New York Times Co., SPH juga menerbitkan lebih 100 judul majalah di Singapura.
Dalam pada itu, AFP turut dimaklumkan bahawa sebilangan besar daripada kakitangannya yang akan diberhentikan adalah dari bilik berita di jabatan editorial. SPH mempunyai seramai 4,410 kakitangan setakat hujung Ogos lalu.
Ini termasuk kira-kira 1,000 wartawan dan koresponden di seluruh dunia. Ketua eksekutif SPH, Ng Yat Chung dilaporkan berkata, belum ada lagi rancangan untuk menutup mana-mana akhbar di bawah naungan syarikat itu.
“Keuntungan daripada perniagaan media cetak jauh lebih rendah disebabkan oleh gangguan penyebaran berita secara digital,” kata beliau pada sesi taklimat untuk mengumumkan hasil pendapatan penuh syarikat berkenaan.
Walaupun terdapat masalah serius dalam sektor media tradisional itu, Yat Chung berkata, pelbagai bahagian perniagaan SPH yang lain, termasuk cabang hartanah pula ironinya mencatatkan prestasi kewangan lebih baik.
SPH mendedahkan bahawa keuntungan bersih kumpulannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada bulan Ogos lalu mencapai S$350 juta (RM1.09 bilion), naik sebanyak 32 peratus berbanding rekod pada tahun sebelumnya.
Pendapatan operasi perniagaan media yang merupakan terasnya pula jatuh 13 peratus tahun ini. Pendapatan iklan menjunam sebanyak 16.9 peratus, manakala hasil edaran akhbar turun 5.1 peratus. – Agensi.

Benarkah Durian Raja Kunyit Berharga RM5,760?


SESETENGAH orang mungkin tidak meminati raja segala buah ini. Tapi, kalau yang memang ‘hantu’ durian, harga beratus-ratus ringgit pun mereka sanggup bayar demi menikmati keenakannya.

Apabila sampai saja musim durian, maka belambaklah khemah dipacak di tepi jalan dengan susunan buah yang menarik. Tapi yang tak bestnya, harga durian sekarang ni makin mengarut dan tak masuk akal langsung!
Sekilo durian dengan nama-nama pelik dijual sampai mencecah puluhan ringgit sekilogram! Menjadikan hanya kelompok tertentu dalam masyarakat kita yang mampu menjamah buah berkenaan.
Sampai orang bertanya, mana pergi durian kampung yang harganya semua orang mampu beli dahulu?
Ok… dalam banyak-banyak harga durian yang mengarut…..pernah tak kalian jumpa beberapa biji yang mencecah berharga RM5,790.00? Baca betul-betul…durian tau, bukan harga iPhone 8.
Yea betul….tersebar di media sosial mengenai seorang pembeli dikatakan telah membayar durian jenis Raja Kunyit dengan harga hampir 6k! Tergagap sekejap nak sebut harga durian tu.
Bil dan gambar di bawah adalah bahan yang tersebar itu.
Mungkin inilah harga durian yang paling tak masuk akal setakat ni. Betul ke harga durian raja kunyit mahal macam tu? Boleh buat bayar duit muka untuk beli kereta dah.
Kami telah cuba untuk menghubungi nombor yang tertera di resit tersebut, namun tiada sebarang jawapan yang berjaya diperoleh.
Kami pun teringin nak tahu sangat apakah benar itu harga yang telah dibayar atau semuanya itu sekadar salah faham.
Mungkin selepas ini pihak yang berkenaan akan memberikan jawapan mengapa harga durian itu mencecah 6k.
Apakah ia sebenarnya merujuk kepada 100 kiliogram dan bukan 1 kilogram?
Peliknya di resit syarikat penjual itu ditulis 1 raja kunyit. Takkan sebijik semahal itu? Pelancong mana la kena kencing agaknya kalau ia benar.
Bagi anda yang peminat tegar durian ni… Agak-agak masuk akal ke harga durian Raja Kunyit semahal macam tu? Menangis jugak rasanya kalau nak bayar tu. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah
*Video sekadar hiasan.

Mengenal Makna Frasa ‘Cashless’


Tulisan asal oleh:
Lim Sian See, 
Facebook Lim Sian See, 13 Oktober 2017
Sesetengah rakyat Malaysia mesti benar-benar tidak faham jika mereka berfikir bahawa Khairy mengatakan Malaysia akan menjadi masyarakat tanpa tunai (cashless society) bermakna Malaysia akan muflis.
Makna frasa “tanpa tunai” (“cashless”) itu secara universal adalah bahawa kita menggunakan sistem pembayaran elektronik seperti kad kredit atau telefon pintar atau kad Touch N’ Go untuk membuat pembayaran dan bukannya wang tunai dan duit syiling.
Berubah kepada tanpa tunai secara menyeluruh bermakna ia adalah satu perkara yang baik untuk negara kita kerana ia adalah lebih selamat, lebih cekap dan kos efektif bagi kita kerana kedai-kedai tidak lagi perlu mengendalikan wang fizikal dan pergi ke bank setiap hari untuk mendepositkannya, tidak perlu lagi memberikan anda baki wang anda dan BNM tidak lagi perlu menghabiskan banyak wang untuk mencetak wang tunai dan menggantikan nota dan syiling yang telah rosak.
Mengikut logik dari beberapa rakyat Malaysia ini (yang kebanyakannya adalah penyokong Pakatan yang hanya mahu menggunakan apa sahaja alasan – tidak kira betapa bodohnya alasan itu – untuk menghentam kerajaan, maka negara-negara yang memimpin rakyat mereka untuk menjadi masyarakat tanpa tunai mestilah sudah berstatus muflis.
Memandangkan Singapura sudah 61% tanpa tunai, ini bermakna Singapura sudah 61% muflis. Betul?
Mengapa anda begitu cerdik sekali?
—–
http://www.businesstoday.in/current/economy-politics/here-are-the-top-cashless-countries-in-the-world/story/241430.html
Pembayaran digital – bergerak ke arah masyarakat tanpa tunai


http://www.business.us.hsbc.com/en/us/article/digital-payments-moving-towards-a-cashless-society. (SuaraTV)

Friday, 13 October 2017

Jutawan Tukang Gunting Rambut.. Ada 378 Kereta Mewah


NEW DELHI – Menjadi tukang gunting dianggap sebagai kerjaya yang tidak menghasilkan banyak wang, namun siapa sangka, ada menjadi jutawan dan mampu membeli ratusan kereta mewah.

Justeru kisah Ramesh Babu, seorang tukang gunting warga India yang berasal dari Bangalore, India mencetuskan sensasi dalam kalangan netizen apabila beliau dilaporkan hidup kaya dengan memiliki sebanyak 378 buah kereta.
Laman rushlane melaporkan antara koleksi kenderaan tersebut ialah Rolls Royce Ghost, BMW 7-series, Mercedes S Class, E Class, Viano, BMW 5 Series, Toyota Camrys, Honda Accords dan beberapa Honda CR-Vs.
Terbaharu, Babu membeli Mercedes Maybach S600 berharga 26.5 juta rupee (kira-kira RM1.7 juta) berenjin V12 dengan 6.0 liter yang juga  dilengkapi pelbagai fasiliti mewah serta kuasa 530 bhp dan torsion 830 Nm.
Kisah kejayaannya bermula ketika beliau berusia tujuh tahun setelah bapanya meninggal. Babu melakukan pelbagai kerja sehingga pada awal 1990-an beliau berjaya membuka tempat gunting rambut sendiri untuk menyara hidup.
Pada 1993, Babu membeli kereta pertamanya iaitu Suzuki Maruti Omni, hasil usaha wang tabungannya selama menjadi tukang gunting. Demi menambah pendapatan, beliau menyewakan kenderaan itu kepada masyarakat.
Tahun demi tahun, kegigihannya bekerja sama ada sebagai tukang gunting dan penyewa kereta terus berkembang maju sehingga Babu mampu membeli sebanyak enam buah kereta pada 2004 lalu sebelum menjadi jutawan.
Meskipun sudah bergelar hartawan dan selesa memiliki banyak kereta mewah, Babu tetap bertugas sebagai tukang gunting. Beliau cuma mengenakan caj 100 ruppee atau RM6 untuk setiap perkhidmatan gunting rambut gaya biasa.
Selebihnya datang daripada operasi kereta sewa yang beliau buat lebih dua dekad lalu termasuk penyewaan khusus kenderaan mewah dimilikinya. Sebagai contoh, Rolls-Royce disewa dengan harga 50,000 rupee (RM3,000) sehari.
Lebih hebat lagi, pelanggannya bukanlah sembarangan. Kebanyakan dari kalangan artis antaranya Salman Khan, Aishwarya Rai, Aamir Khan malah tokoh terkenal iaitu Raja Saudi, Salman Abdulaziz. – Agensi

Thursday, 12 October 2017

Syarikat Plusliner Travel & Tours Diisytihar Muflis


Muflis

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan syarikat dan tiga individu diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak berjumlah kesuluruhan RM3,078,649.29 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dalam satu kenyataan berkata, LHDN berjaya mendapatkan petisyen menggulung tiga syarikat terlibat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala selebihnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Antara syarikat terlibat adalah Plusliner Travel & Tours Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan perjalanan pelancongan kerana gagal membayar cukai tertunggak berserta kenaikan sebanyak RM204,098.66 untuk Tahun Taksiran 2014 dan 2015
Senarai syarikat lain dan tiga individu yang dikenakan tindakan serupa adalah seperti berikut:
1. Kwong Chen Goldsmiths & Jewellers Sdn. Bhd. kerana gagal membayar cukai tertunggak berserta kenaikan sebanyak RM218,525.26 untuk Tahun Taksiran 2011.
2. Inter-Fresh Foods Sdn. Bhd. kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM350,743.22 untuk Tahun Taksiran 2007 dan 2008.
3. Maju Ken Construction Sdn. Bhd.kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM36,390.75 untuk Tahun Taksiran 2002.
4. Synergy Transglobal Sdn. Bhd. kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM327,800.65 untuk Tahun Taksiran 1994, 1994 (tambahan), 1995, 1995 (tambahan) 1996 dan 1997.
5. Wong Onn Construction Sdn. Bhd. kerana gagal membayar amaun cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM106,767.94 untuk Tahun Taksiran 2004, 2005, 2006 dan 2007.
6. Wise Innovations Sdn. Bhd. kerana gagal membayar cukai tertunggak berserta kenaikan sebanyak RM1,298,327,.22 untuk Tahun Taksiran 2013.
7. Yong Hardware Trading Sdn. Bhd. kerana gagal membayar cukai tertunggak berserta kenaikan sebanyak RM242,410.37 untuk Tahun Taksiran 2000, 2001 dan 2009.
8. Syed Mohd Ashraf Syed Mohd Ridzuan kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM 172,041.36 untuk tahun taksiran 2005 sehingga 2013.
9. G.K.B Rakesh Bajaj kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM 67,140.84 untuk tahun taksiran 2013.
10. M.N. Ritish Kumar Nandy kerana gagal membayar cukai tertunggak beserta kenaikan sebanyak RM 54,403.02 untuk tahun taksiran 2000, 2002, 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009. – MYNEWSHUB.CC

Wednesday, 11 October 2017

Air Selangor rugi RM1.8 juta


Petugas SPAN menunjukkan sambungan haram paip air di tapak projek menaik taraf MRR2 di Taman Melati, Gombak semalam.

GOMBAK – Kegiatan mencuri air oleh rumah kongsi dan tapak pembinaan telah menyebabkan syarikat Air Se­langor Sdn. Bhd. (Air Selangor) kerugian lebih RM1.8 juta dalam tempoh 10 bulan tahun ini.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Siti Zubaidah Zakaria berkata, kerugian itu dikira daripada 98 kes curi air yang dapat dikesan oleh pihaknya melibatkan kehilangan 522,027 meter padu (m3) air.
Katanya, Air Selangor telah mengambil tindakan lanjut kepada pemilik premis dengan memberikan notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan bagi menuntut ganti rugi.
“Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,822,328 bagi kes curi air di seluruh negeri Selangor. Sehingga Oktober tahun ini, kita telah menerima 4,586 aduan kes curi air dengan 98 daripadanya diklasifikasikan sebagai sahih.
“Perbuatan mencuri air hanya menjurus kepada pembaziran dan mengganggu sistem bekalan air sedia ada untuk dihantar kepada pengguna sah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Perniagaan Atas Trak Mampu Tingkat Ekonomi Belia


Perniagaan Atas Trak Mampu Tingkat Ekonomi Belia

PUTATAN – Perniagaan atas trak merupakan satu usaha yang boleh meningkatkan ekonomi dalam kalangan belia seiring dengan kemajuan negara.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata perniagaan jenis itu memberi banyak manfaat kepada usahawan muda, khususnya dalam menjimatkan kos perniagaan dari segi sewa premis dan kos elektrik serta air, di samping dapat mendekati pelanggan di lokasi berbeza.
“Secara tidak langsung, ini akan memberikan kesan positif kepada pemasaran dan perkembangan perniagaan tersebut.
“Dengan teknologi yang berkembang pesat di Sabah dan Malaysia amnya, belia yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu mencari jalan terbaik dan tidak hanya tertumpu kepada kaedah konvensional untuk bersaing dengan usahawan lain,”katanya ketika merasmikan Karnival ‘Business On Truck’, di sini, hari ini.
Yahya juga menyarankan agar usahawan muda sentiasa kreatif memenuhi citarasa semasa masyarakat. – BERNAMA

Monday, 9 October 2017

1.7 Juta Rakyat M'sia Tertipu Dengan 27 Skim Pelaburan Palsu.





















INILAH sebahagian kereta yang dirampas daripada suspek skim Krubal.

KUALA LUMPUR – Polis menganggarkan seramai 1.7 juta rakyat Malaysia tertipu dengan 27 skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lebih 100 peratus dalam tempoh Julai 2013 sehingga September lalu.
Dalam tempoh hampir lima tahun itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan sindiket skim pelaburan tersebut telah mengaut keuntungan kira-kira RM4.4 bilion daripada mangsa-mangsanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam tempoh Julai 2013 hingga September lalu, pihaknya menerima lebih 2,500 laporan membabitkan 1.7 juta mangsa yang terjebak dengan kes-kes skim pelaburan palsu.
Menurut beliau, daripada 27 skim pelaburan yang dikesan, skim pelaburan JJ Poor To Rich mencatatkan kerugian paling besar iaitu membabitkan RM1.2 bilion dengan jumlah mangsa seramai 500,000 orang.
“Bagaimanapun, polis sehingga September lalu hanya menerima 14 laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian sebanyak RM78,660. Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan skim tersebut.
“Kami anggarkan skim pelaburan JJ Poor To Rich telah mengutip wang mang­sa yang ditipu sehingga mencecah RM1.2 bilion dari April 2015 sehingga Jun lalu ” kata beliau.
Acryl Sani memberitahu, kerugian kedua tertinggi dicatatkan oleh skim pelaburan Mface atau MBI International Group dengan nilai mencecah RM700 juta.
“Seramai 350,000 orang dipercayai menjadi mangsa kepada skim pelaburan Mface tetapi polis hanya menerima dua laporan setakat ini,” ujarnya.

Saturday, 7 October 2017

Ekspo Kerjaya Menipu, Libat Nama Syarikat Besar


HARAPAN palsu mendapatkan pekerjaan benar-benar menyakitkan hati kepada graduan mahupun penganggur yang sekian lama menantikan pekerjaan.

Semalam, seorang peserta Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di Alor Setar, Kedah telah mendedahkan pengalaman ‘manisnya’ ketika mengadiri acara yang diadakan dari 30 September hingga 1 Oktober yang lalu.
Lebih malang menurutnya, ekspo secara besar-besaran itu dikatakan telah berjaya menipu ramai pengunjung apabila mereka dikenakan pula bayaran sebanyak RM10 bagi mendapatkan borang permohonan kerja.
Gadis yang dikenali sebagai Awin itu mendakwa bahawa sebanyak 5,000 jawatan daripada syarikat terkemuka sedia menanti calon yang bertuah dan berjaya melepasi empat sesi dikendalikan oleh pihak penganjur.
Difahamkan lagi, setiap seorang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang supaya peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu menjadi lebih cerah.
“Saya bukan sengaja mahu mensensasikan perkara ini tetapi saya terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar yang perlu dilalui orang ramai semasa hendak menghadiri expo tersebut.
“Bukan sahaja kecewa tetapi saya rasa dianiayai,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Teknologi Mara(UiTM) Kedah tersebut.
Mereka malah perlu beratur selama dua jam untuk ke sesi kedua taklimat ekspo karier itu. Difahamkan akaun Facebook penganjurnya, Jobsitu.com Malaysia hanya didaftarkan 18 Julai, iaitu tiga bulan sebelum ekspo ini diadakan.
Tiada sebarang maklumat daripada pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan syarikat terbabit. Walaupun akaun Facebook itu masih lagi baru, namun mereka sudah ada lebih 220,000 pengikut dalam masa singkat.
“Saya pernah pergi banyak ekspo karier sebelum ini tapi inilah kali pertama saya berdepan dengan situasi graduan perlu membeli borang untuk memohon pekerjaan.
“Ekspo karier di KL, lebih besar berbanding di sini tapi saya tidak perlu keluar satu sen pun untuk beli borang. Dari situ, saya menyedari seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan ekspo ini.
“Kasihan dekat mereka yang datang dari jauh sambil ditemani orang tua dan adik-adik kecil yang terpaksa berdiri lama dalam keadaan panas terik,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Malah, ramai orang awam yang menghadiri ekspo itu turut meluakan rasa kekesalan mereka kerana diberikan harapan palsu mengenai pekerjaan yang ‘ditawarkan’ kepada pengunjung.
Apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila staf bertugas memaklumkan borang yang dibeli akan dihantar melalui pos ke alamat yang telah diberikan.
Tambahan pula, staf sendiri yang akan menjadi wakil untuk menghantar borang permohonan graduan kepada syarikat yang telah dimohon.
Tertera di poster itu menunjukkan banyak syarikat besar seperti Sime Darby, Air Asia, Grab, Nestle, Petronas, Celcom, Maybank, Tenaga Nasional, Intel, Proton dan TM.
Namun, sayang seribu kali sayang apabila syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd telah menafikan penglibatan syarikat itu pada ekspo tersebut.
“AirAsia ingin mengesahkan bahawa syarikat ini tidak ambil bahagian dalam ekspo kerjaya anjuran Jobsifu.com Malaysia yang diadakan di Alor Setar, Kedah bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu,” demikian menurut kenyataan itu.
Malah, penganjur tersebut turut menggunakan logo syarikat berkenaan tanpa kebenaran dan persetujuan syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Orang ramai boleh membuat laporan atau berhubung dengan AirAsia menggunakan saluran komunikasi rasmi syarikat itu di www.facebook.com/airasia; www.twitter.com/airasia dan www.airasia.com/ask, katanya dipetik daripada mStar Online.
Selain itu, syarikat yang menawarkan perkhidmaran e-hailing, Grab turut menyangkal dakwaan penglibatan syarikat tersebut dalam ekspo berkenaan.
“Kami tidak membuat sebarang promosi tawaran pekerjaan ketika ini,” kata Pengurus Komunikasi Grab Malaysia, Regina Robin.
Tiada tawaran pekerjaan di Grab Malaysia, cuma yang ada hanya tawaran kod promosi bagi mengurangkan kesesakan ke lokasi tersebut di atas permintaan penganjur.
“Kami hanya diminta untuk menyediakan kod promosi bagi kemudahan pengangkutan sahaja, bukan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan,” tambah mereka lagi.
Ternyata penipuan yang dilakukan oleh pihak penganjur merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana mereka seolah-olah mempergunakan nama syarikat besar bagi menarik minat orang awam menyertai ekspo itu.
Apa pula nasib kesemua peserta yang telah menghadiri expo penipu itu? Lepas ini anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan iklan ekspo kerja.
Bukan apa, takut erja tah kemana, masa pun dah terbuang. Akhirnya duit juga yang dah melayang.  Lapor MYNEWSHUB.CC