Wednesday, 26 July 2017

Brunei Haram Jual Makanan Haram, Denda Jika Ingkar.


Brunei Haram Jual Makanan Haram, Denda Jika Ingkar

BANDAR SERI BEGAWAN – Kerajaan Brunei bakal mengharamkan penjualan makanan tidak halal kepada umat Islam dengan mewajibkan semua premis memiliki sijil halal, lapor media tempatan.

Di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017, semua pengusaha dikehendaki memohon Sijil Halal bagi premis makanan atau Permit Halal bagi setiap produk mengikut kesesuaian jenis perniagaan yang dijalankan.
Menurut media negara tersebut, Sijil Halal juga hendaklah dimohon oleh mana-mana individu yang berhasrat memiliki perniagaan penyediaan makanan secara komersial di tempat awam seperti restoran, gerai atau kantin.
Ini juga termasuk dalam kategori bagi mereka yang menjalankan perniagaan pembuatan dan penjualan makanan langsung dari rumah terus dihantar kepada pelanggan tanpa diedar kepada mana-mana pemborong atau peruncit.
Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei menjelaskan perkara ini dalam kenyataan dikeluarkannya berikutan tersebar tular menerusi media sosial tempatan baru-baru ini, yang melibatkan berlaku kekeliruan isu perintah halal tersebut.
Individu yang didapati ingkar boleh dikenakan hukuman denda maksimum B$8,000 (kira-kira RM25,152) dan penjara hingga dua tahun selepas perintah berkenaan dikuatkuasakan secara rasmi menjelang 26 November depan.
Bagi premis yang tetap mahu jual makanan haram tetapi kepada pelanggan bukan Islam, pemiliknya perlu dapat terlebih dahulu surat pengecualian khas daripada Bahagian Kawalan Makanan Halal di kementerian tersebut.
Premis terbabit turut wajib memasang notis makluman di pintu masuk bahawa ia menjual makanan tidak halal untuk pengguna bukan agama Islam dan melarang keras kemasukan pelanggan Muslim menikmati juadah di situ.
Kenyataan turut menekankan Majlis Ugama Islam Brunei boleh mempertimbangkan pengecualian difikirkan patut tertakluk syarat-syarat berdasarkan peruntukan Bab 49(B), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017.
Manakala perniagaan yang menyediakan makanan bagi diedarkan kepada pemborong dan peruncit atau untuk dieksport juga dikehendaki memohon bagi mendapatkan Permit Halal bagi setiap jenis produk yang dihasilkan.
Pada masa ini, menurut Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2008, harga Permit Halal adalah hanya B$50 (RM157) bagi satu jenis produk malah adalah tidak bertempoh atau tiada tarikh luput.
Bagaimanapun, kadar harga tersebut sedang dalam penilaian oleh pihak berkenaan, menurut kenyataan itu lagi, sementara Sijil Halal pula mengenakan caj sebanyak B$90 (RM283) dengan tarikh luput tiga tahun sahaja.
Sehubungan itu, kementerian tersebut mengalu-alukan sebarang maklum balas munasabah disampaikan secara bersopan dan tidak berbaur hasutan atau kebencian mengenai isu halal berkenaan. – Agensi

Tuesday, 25 July 2017

Dikehendaki Segera!! Tukang Gunting Rambut Lelaki


Hasil carian imej untuk tukang gunting rambut lelaki
Dikehendaki Segera!! Tukang Gunting Rambut Lelaki 
-Berpegalaman mengunting rambut lelaki pelbagai usia. 
-Pendapatan basic komisen boleh dirunding. 
-Disiplin, jujur dan amanah amat diutamakan. 
-Ciri-ciri tambahan, berketerampilan kemas dan mudah mesra. 

Kelebihan / Kemudahan 
- Majikan yang prihatin 
- komisyen dan gaji terjamin. 
- lokasi Kedai yang bersih,selesa dan menarik dikelilingi 
oleh ramai penduduk. 
- Berdekatan dengan Surau dan kedai makan. 
- kedai berhawa dingin. 

Lokasi : Meru Kelang Selangor.

Hubungi: 
Muaz;:
Sila hubungi.. 
018 2018342 
011 33111321

Monday, 24 July 2017

India: Antara Destinasi Emas Pelaburan China.


China Dan India
CHINA dan India, dua negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi dunia. Namun, China berjaya menjadi negara yang disegani. China menjadi kuasa ekonomi baru dan India kini antara destinasi utama pelaburan China.
China yang sudah memiliki lebih RM250 bilion pelaburan di Amerika Syarikat sejak lima tahun kebelakangan ini, mula memilih pelbagai destinasi strategik untuk menjadi pemodal utama pelaburan global.
China banyak melabur di India dalam sektor pembinaan, IT dan automotif. Pada 2011, China memulakan langkah pelaburan bernilau RM408 juta.
Pada 2015, Global Times melaporkan, pelaburan di India meningkat kepada RM3.2 bilion; 6 kali ganda berbanding tahun 2014. Fokus utama dalam sektor pembinaan salur paip. Jelasnya India mula menjadi lubuk emas China.
China juga semakin rancak melabur di India dan sektor perbankan komersil. Bank Komersil Industri China (ICBC) menyediakan satu pasukan khas untuk pelabur China di India.
Pasukan ini memberikan khidmat nasihat dan konsultan untuk pelanggan di India.
Februari tahun ini membuka lembaran baharu apabila pengeluar mesin pembinaan China, Sany Heavy Industries pelaburan RM4 bilion bagi tempoh sedekad seterusnya.
Terdapat pelbagai persamaan antara China dan India yang menjadikan pelaburan berjaya dilakukan. Bagi China, India berbanding AS.
Persamaan budaya, perbelanjaan pengguna dan tahap pendapatan. China dan India juga menghadapi masalah sama dari manipulasi kualiti, tetapi menemui penyelesaian yang kompeten melalui peningkatan teknologi.
Hubungan China-India dalam pelaburan menemukan situasi menang-menang. China menemui pasaran baharu dan India pula menerima modaldari satu kuasa besar ekonomi dunia.
Ini akan membantu ekonomi India untuk terus berkembang ada masa hadapan.
#laskarmalaya

Jack Ma : Alibaba Made In China


Jack Ma
ALIBABA, konglomerat digital yang berteraskan perdagangan elektronik, menjadikan Jack Ma antara lelaki terkaya di dunia dan eksekutif China pertama yang dikenali di pentas global, dengan aset bernilai hampir RM120 bilion.
“From zero to hero”, mungkin itulah ungkapan tepat untuk menggambarkan Jack Ma yang bermula sebagai guru Bahasa Inggeris sebelum menjadi bilionaire. Ma pertama kali menggunakan internet pada 1995. Dia tidak menemui perkataan ‘beer’ dan ‘China’ sebaik sahaja menekan butang ‘search’.
Ma kemudian mewujudkan “Chinapage’ dan mendapat respon positif pelbagai pihak. Maklum balas ini membuka mata Ma untuk mewujudkan perniagaan berorentasikan Internet. Justeru, wujud Alibaba.com pada 1999.
Jack Ma menjadikan Alibaba raksasa di pentas e-dagang. IPO di New York pada 2014 merekodkan Alibaba sebagai syarikat yang memiliki nilai saham terbesar di dunia.
Meskipun dikritik dengan tuduhan Alibaba tidak melaksanakan usaha yang cukup untuk mengatasi jualan palsu, Ma masih lagi mampu memimpin Alibaba mencapai jualan rekod dunia. Pada 2016, Alibaba merekodkan perniagaan bernilai RM1.852 trilion.
Gambar bawah: Ibnu Hasyim, semasa melawat Turfan, Islam dan perusahaan anggur orang Islam di China, beberapa tahun lalu.

 Bekakang.. kincir angin sebagai janakuasa letrik.
 Antara restoran Islam di kawasan Turfan.
 Sebuah perkampungan Islam di Turfan, China.
Alibaba menetapkan maklamat mewujudkan 10 juta ruang perniagaan dan 100 juta pekerjaan dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Ma menjadi berita utama di Forum Ekonomi Dunia kerana menyelar Amerika Syarikat (AS). Sepatutnya AS menyalahkan diri sendiri dalam isu ekonomi negara itu.
Jack Ma berada di tempat kedua dalam ‘World Greatest Leader 2017’. Selain e-dagang, Alibaba menjalinkan hubungan dengan Steven Spielberg’s Amblin Partners untuk memajukan industri hiburan.
Oleh : Amira-0803 
#laskarmalaya

Sunday, 23 July 2017

China Pelabur Asing Terbesar Di M'sia, Rakan Dagang Sejak 2009.



Gambar atas sekali, kawasan perbandaran bukan Islam di Yunnan China, berbanding kawasan orang Islam yang bersempadan dengannya, di Jian Shui. Mereka yang Islam membangun bersama Islam. Gambar Ibnu Hasyim.

REPUBLIK Rakyat China merupakan kuasa besar yang tidak asing lagi dalam dunia pelaburan global.

Di Amerika Syarikat (AS), pelabur China melabur RM50 billion pada 2014 dan pelaburan tersebut meningkat menjadi RM63 billion pada 2015.
Dua per tiga daripada jumlah tersebut dilaburkan dalam sektor hiburan, kesihatan, IT dan kewangan.
Pelabur China bukan sahaja melabur dalam sektor ini, malah mewujudkan pelbagai peluang pelaburan baru untuk meningkatkan ekonomi kedua- dua negara.

kerjasama malaysia dengan china


Pada 2016, syarikat-syarikat besar China mengembangkan sayap perniagaan dengan melabur RM85 billion hingga RM126 billion di AS.
Nilai tersebut hanya sebahagian kecil daripada aliran modal pelabur China. Satu per lapan daripada jumlah pelaburan China disalurkan di AS. Selebihnya modal pelaburan tersebut masih lagi tertumpu di Eropah dan Asia.
Seperti yang berlaku di AS, China kini menjadi pelabur asing terbesar di Malaysia. Republik itu merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009 lagi.
Ini menjadikan China sebagai negara pasaran terbesar bagi import dan eksport di negara ini. Pelaburan Asing (FDI) China ke Malaysia membabitkan perjanjian pemilikan dalam infrastruktur, hartanah, penempatan dan bandar.
Antara perjanjian itu merangkumi pemeteraian pembangunan Forest City dengan kos RM17 bilion, pembinaan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion serta Keretapi Laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR) RM60 bilion.
Pelaburan asing termasuk China tidak akan mengugat kedaulatan Malaysia. Malahan ia penting bagi menjana ekonomi negara.
Rakyat Malaysia tidak perlu berasa bimbang kerana AS, Singapura, Jepun dan Eropah juga melabur di negara ini. Cuma, China merupakan pelabur terbesar berbanding negara lain.
Jadi persepsi yang mengatakan Malaysia akan dijual kepada China adalah persepsi lemah yang tidak merujuk kepada persekitaran pelaburan global.
By : Mohamad Izzat Bin Zulkanain
#laskarmalaya

Saturday, 22 July 2017

Made In China: Menuju 100 Tahun Republik



Made In China
CHINA mengeluarkan hampir 80 peratus dari semua produk kegunaan dalam kehidupan seharian. “Made in China” terma yang digunakan bagi produk yang dihasilkan dari Tanah Besar.

Sejarah awalnya “Made in China” terhasil berikutan persaingan teknologi pada era Perang Dingin. Amerika Syarikat (AS), memburuk-burukkan jenama dan label buatan China.
Namun kini produk China adalah label yang paling dikenali di dunia. Industri perkilangan China yang pesat membangun, kos pengeluaran paling rendah, membuatkan China menjadi negara pengeksport terbesar di dunia.
Antara syarikat terkenal adalah BYD, Shenzhen Airlines, Huawei, dan TCL Corporation. China mengeluarkan 1.8 bilion tan simen merangkumi 60 peratus pengeluaran dunia.
Manakala per kapita pengeluaran melebihi 6 kali ganda tahap purata dunia. Produk telefon bimbit Made in China menguasai 70.6 peratus pengeluaran dunia.
Tahap per kapita pembuatan telefon adalah 10 kali ganda dari purata tahap pengeluaran global. Antara jenama telefon bimbit dari China Alcatel , Huawei , Lenovo Oppo, Vivo dan Xiomi.
80 peratus dari pendingin hawa juga dihasilkan dari Tanah Besar China. Tahap perkapita mencapai 17 kali ganda melebihi purata pengeluaran dunia.

Ibnu Hasyim bersama usahawan Melayu di negara China.

Ibnu Hasyim depan Masjid di Guangzhou, China.
Made in China 2025 yang didrafkan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China bakal menjadi platform baharu. Majlis Kebangsaan China telah meluluskan pelan tersebut pada 19 mei lalu.
Rancangan bagi 10 tahun pertama adalah menumpukan usaha mempromosikan bidang pembuatan. Tiga langkah dicadangkan untuk mengubah China menjadi kuasa pembuatan yang terkenal menjelang tahun 2049.
Pada ketika itu China akan menyambut ulangtahun ke-100 penubuhan republik rakyatnya.
Oleh:Lisa
#laskarmalaya


China: Semakin Rancak Di Bidang Ekonomi Malaysia..

China Dan WTO

CHINA pada masa kini semakin rancak dalam bidang ekonomi di Malaysia apabila membeli saham Proton 49.9 peratus melalui syarikat Geely Automobile.

China juga memegang status MFN (Most Favourable Nation) dalam perdagangan antarabangsa. Semua ini bermula dengan pilihan untuk melaksanakan dasar pintu terbuka yang bermula pada 1977 dan penglibatan China dalam World Trade Organisation (WTO).
Kemasukan China ke dalam WTO bukanlah satu perkara sia-sia. Langkah ini meningkatkan lagi peluang negara itu untuk menguasai dagangan antarabangsa.
Kemasukan China dalam WTO mewujudkan kelebihan kepada Perancis berdasarkan pendapat presidennya. Ia juga turut mengukuhkan lagi sifat-sifat universal yang terdapat dalam institusi ekonomi China.

Kewujudan China dalam WTO membawa implikasi yang baik mengenai pandangan dunia terhadap China. Ia juga membolehkan negara China bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) dalam membuat keputusan dalam badan dunia itu.
Dua gambar di atas, Ibnu Hasyim sedang meninjau kedai-kedai di bawah masjid Xinjiang ChinaBergambar dengan wanita-wanita dan lelaki Uighur beragama Islam di sana beberapa tahun lalu.
Perkara ini juga turut menjadikan China lebih cekap dalam integrasi ekonomi secara global. Kemasukan China ke WTO juga menjadikan ia sebagai sebuah negara yang disegani.
Ia juga menjadikan China selamat dalam capaian antarabangsa serta dapat mendedahkan ekonomi China kepada persaingan yang lebih mantap.
Perkara ini juga membolehkan China bersaing menguasai ekonomi dunia bersama AS dan Jepun. Penglibatan China dalam WTO juga turut memberi kesan kepada ASEAN.
Kerjasama ini menarik minat Jepun dan mampu mengeratkan lagi hubungan antara China dan Jepun melalui pemindahan teknologi.
Perkara ini meningkatkan lagi pelaburan bagi kedua-dua belah pihak menerusi pembukaan kilang di Jepun dan China.
Bagi ASEAN, kemasukan China ke WTO memberi signifikasi yang amat besar untuk rantau ini. Kewujudan China di dalam WTO mewujudkan konsep saling bergantung antara ASEAN dengan China. Ia mampu mengurangkan lagi monopoli AS dalam dagangan di Asia Tenggara.
Penyertaan China dalam WTO menunjukkan bahawa negara Asia Timur itu sudah bersedia untuk membawa satu gelombang baru ekonomi dalam peringkat global serta bersedia bersaing dengan AS sebagai satu kuasa ekonomi baru.
China juga mampu menjadi kunci kepada kestabilan ekonomi rantau Asia Timur dan menaikkan lagi persaingan ekonomi di peringkat antarabangsa.
Maka, jelaslah pelaburan China di Malaysia bukanlah kerugian besar untuk negara sebaliknya satu pemangkin ekonomi untuk negara.
Pelaburan China juga mengurangkan lagi kebergantungan terhadap kuasa barat untuk membantu ekonomi Malaysia.
Oleh itu, pelabur-pelabur dari Malaysia harus bijak mengambil peluang ini dalam membantu Malaysia untuk stabil dan membangun dari segi ekonomi.
Oleh : ajib/skema
#laskarmalaya

Apa Uniknya Felda Lurah Bilut?

 MUZIUM Felda Lurah Bilut mempamerkan pelbagai bahan bersejarah berkaitan Felda dan peneroka.


LURAH BILUT merupakan sebuah tanah rancangan milik Felda yang terletak di Bentong, Pahang. Dibuka pada 1959, ia merupakan Felda pertama di negara ini dan dunia.
Tidak ramai yang mengetahui, Felda Lurah Bilut mempunyai keunikan tersendiri kerana mempunyai populasi peneroka daripada kaum-kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
Berbeza daripada Felda lain, Felda Lurah Bilut bermula daripada sebuah kawasan hutan yang diteroka sepenuhnya oleh peneroka sehingga menjadi sebuah tanah rancangan seperti hari ini.
Bagi merakam kisah dan pengalaman kalangan peneroka asal di situ kepada pengunjung khususnya generasi muda maka Felda telah menubuhkan Muzium Felda Lurah Bilut pada 2005.
Pengurus Felda Lurah Bilut, Mohd. Khairul Nizam Alias berkata, Muzium Felda Lurah Bilut agak istimewa kerana ia muzium pertama yang terletak di dalam Felda.
Menurutnya, tapak muzium itu merupakan pejabat pentadbiran Felda Lurah Bilut yang dibina pada tahun 1958 dan berkonsepkan rumah Melayu tradisional.
Ubah suai
 KEUNIKAN Muzium Felda Lurah Bilut menyebabkan ia sering dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Ia kemudian telah diubah suai menjadi muzium dan kini menempatkan pelbagai artifak dan bahan sejarah mengenai aktiviti dan perkembangan Felda khususnya di Lurah Bilut,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Mohd. Khairul Nizam, muzium tersebut turut memaparkan sejarah berkaitan pengasas dan pengurusan Felda serta pembangunan awal yang dilaksanakan.
“Sebahagian besar bahan pameran berkisar kepada Lurah Bilut kerana ia merupakan tanah rancangan pertama di negara ini.
“Selain peralatan pertanian dan peralatan peneroka turut dipamerkan kisah-kisah dan gambar peneroka awal di sini.
“Menariknya, kebanyakan artifak dan bahan pameran ini disumbangkan oleh peneroka sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, selain mengenai Lembah Bilut, muzium itu juga turut mempamerkan aktiviti syarikat, anugerah dan pencapaian peneroka di seluruh negara.
“Pengunjung boleh melihat sendiri contoh rumah peneroka Felda yang asal yang mempunyai satu bilik serta pelbagai peralatan di dalamnya.
“Turut dipamerkan di sini ialah pelbagai kenderaan yang digunakan oleh pengurusan Felda seperti kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki,” katanya.
“Selain individu perseorangan, muzium ini juga sering menerima kunjungan pelbagai kumpulan, delegasi atau rombongan dari dalam dan luar negara.
“Apa yang penting, lawatan ke muzium ini dapat mewujudkan kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebudayaan dan sejarah negara.
“Pada masa sama, ia membolehkan generasi hari ini melihat dan mengetahui pelbagai kisah kepayahan generasi terdahulu yang berusaha mengubah kehidupan menjadi lebih baik,” katanya. (Kosmo!)

Friday, 21 July 2017

Telekung Sulaman Halus.. Oh Indahnya..
















TELEKUNG TEA didatangkan bersama kotak eksklusif yang sangat sesuai dijadikan hadiah

MENUTUP aurat merupakan aspek penting dalam agama Islam apatah lagi ketika bersolat. Bagi memenuhi keperluan tersebut, terdapat pelbagai jenis telekung di pasaran.


Aneka rekaan eksklusif dan perincian menarik ditawarkan sehinggakan dijadikan cenderamata atau hantaran perkahwinan.
Menyedari potensi itu, sepasang suami isteri, Ahmad Aiman Che Ghani, 34, dan Areej Torla, 34, melalui syarikatnya, Tea Prima International Sdn. Bhd telah mengeluarkan telekung jenama TEA sejak tahun 2013.
Menurut Ahmad Aiman, telekung tersebut mempunyai perincian sulaman tangan yang begitu halus, dijahit rapat, rapi dan cantik.
“Sulaman indah dapat dilihat pada bahagian tepi telekung. Rona benang sulaman yang digunakan menonjolkan lagi keindahan Telekung TEA.
“Kami mahu menghasilkan telekung yang diperindahkan dengan sulaman cantik dan eksklusif untuk dijadikan sebagai hantaran atau hadiah,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Memilih fabrik rosella premium sebagai material signatur, setiap telekung disulam dengan rekaan corak yang pelbagai mengikut trend terkini seperti flora serta kontemporari.
Ujarnya, rosella premium sangat selesa, lembut, tidak panas dan tidak mudah renyuk.
Selain itu, turut digunakan fabrik sutera satin yang sejuk dan kain kapas.
Menariknya, telekung-telekung itu dijahit menggunakan teknik istimewa dan terletak cantik pada dahi.
Telekung TEA itu tidak memerlukan pemakaian anak tudung. Ia turut menutup bahagian dagu dengan sempurna.
Lebih istimewa, Telekung TEA didatangkan dalam kotak yang cantik dan disertakan dengan kad ucapan yang dicetak mengikut kehendak pelanggan.
Terdapat tiga jenis telekung di bawah jenama ini iaitu TEA Limited, TEA Premium, TEA Basic, Telekung Travel, TEA Kids dan TEA Accesories.
TEA Limited merangkumi koleksi telekung edisi terhad. Kuantiti yang dihasilkan tidak banyak untuk mengekalkan ciri eksklusifnya.
Setiap telekung daripada koleksi ini dipek di dalam kotak hadiah istimewa. Harga telekung koleksi edisi terhad bermula dari RM300 hingga RM1,000.
Eksklusif
Antara rekaan telekung eksklusif tersebut ialah Irisia diperbuat daripada fabrik rosella premium. Ia hadir dalam warna pastel yang menjadi trend masa kini seperti merah jambu, biru, hijau, ungu, kelabu dan putih.
Sulamannya lebih banyak dan tebal, menggabungkan sulaman floral dengan sulaman goyang.
Isabelle pula hanya terdapat dalam warna putih. Ia didatangkan bersama cantuman sulaman bermotif kontemporari dengan sulaman goyang tradisional.
Sementara itu, Andalusia diperbuat daripada fabrik sutera satin yang lembut, sejuk dan tampak mewah. Ia terdapat dalam pelbagai warna pastel seperti beige, merah jambu kabut dan kuning.
TEA Premium pula merupakan koleksi telekung yang sesuai dijadikan hadiah, hantaran perkahwinan atau dipakai harian yang berharga RM180 hingga RM220.
Telekung TEA Premium mempunyai tiga jenis iaitu Seven Petals, Aurelia dan Lotus.
Koleksi TEA Basic pula merupakan telekung asas dan ringkas untuk kegunaan harian yang dikenali sebagai Rossa serta Omra yang berharga RM80 hingga RM130.
Sementara itu, Telekung Travel sesuai digunakan untuk mengembara yang diperbuat daripada fabrik parachute berkualiti tinggi.
Ia didapati dalam pelbagai warna yang mudah dibawa ke mana sahaja pada harga serendah RM50.
Tidak ketinggalan, telekung solat untuk si manja iaitu TEA Kids yang sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 14 tahun pada harga serendah RM40.
TEA Accesories pula merangkumi aksesori untuk telekung seperti beg yang digunakan untuk menyimpan telekung. Terdapat juga sejadah yang kebiasaannya diberikan sebagai hadiah bersama telekung pada harga RM35.
Telekung TEA boleh dibeli di laman web www.telekungtea.com atau di Facebook telekung TEA dan Instagram telekungtea.
TELEKUNG TEA didatangkan bersama kotak eksklusif yang sangat sesuai dijadikan hadiah.

Tuesday, 18 July 2017

Kecanggihan Teknologi, Penyebab Kedai Gambar Gulung Tikar.

MUN LOONG sedih mengenangkan perniagaan Chan Sam Lock Photo and Bridal Palace yang diusahakan bersama abangnya sejak 71 tahun terpaksa ditutup.

IPOH – Kepantasan perkembangan dan kecanggihan teknologi sememangnya sesuatu yang tidak dapat dinafikan memberi banyak kebaikan serta manfaat kepada kehidupan seharian.
Bagaimanapun, di sebalik semua itu terutama kecanggihan telefon pintar menyebabkan ada pihak yang terpaksa gulung tikar kerana perniagaan kedai gambar serta studio perkahwinan milik keluarga yang diusahakan sejak 71 tahun lalu berterusan menanggung kerugian.
Premis yang tidak asing atau dianggap ‘legenda’ bagi masyarakat tempatan iaitu Chan Sam Lock Photo and Bridal Palace di Jalan Sultan Idris di sini akan memberhentikan operasi buat selamanya pada 31 Ogos ini.
Pengarahnya, Chan Mun Loong, 63, berkata, pihaknya membuat keputusan untuk menutup operasi dua bulan lalu apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM200,000 setahun bagi tempoh dua tahun berturut-turut.
“Kalau dahulu, sehari boleh cetak sehingga 5,000 keping gambar, tetapi sekarang 500 keping sehari pun susah sebab ramai ambil gambar gunakan telefon bimbit. (Kosmo!)

Sunday, 16 July 2017

Kereta ‘cair’ Dihentam Ribuan Belut.

Kereta 'Cair' Dirempuh 3 Tan Belut Dari Trak Terbalik


WASHINGTON DC – Sebatang jalan raya sibuk di Oregon tiba-tiba kecoh setelah sebuah trak yang sarat mengangkut 3,700 kilogram belut terbalik, lapor media Amerika Syarikat (AS) semalam.

Insiden aneh itu berlaku di laluan 101 sebelah selatan bandar Depoe Bay, Oregon kelmarin namun menurut polis, tiada sesiapa terbunuh kecuali beberapa buah kereta dilaporkan ‘cair’ akibat hentaman ribuan belut tersebut.
Menurut akhbar tempatan The Oregonian, satu lorong jalan berkenaan terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan manakala haiwan itu dipercayai sejenis belut yang dapat menghasilkan lendir dari kelenjar tubuh mereka sendiri.
Akibat nahas tidak diduga tersebut, belut domestik yang juga dirujuk penduduk setempat sebagai hagfish itu secara semula jadi memuntahkan lendiran kerana dalam keadaan tertekan sekali gus ‘menghancurkan’ objek sekitarnya.
Ikan berwarna agak kemerah-merahan itu memang banyak didapati di pesisir barat AS, termasuk Oregon, dan lazimnya popular dieksport ke Korea Selatan untuk dijadikan bahan makanan penduduk negara Asia tersebut.
Polis negeri Oregon dalam kenyataan menerusi akaun Twitter melaporkan trak itu memang bawa ribuan kilogram belut tersebut untuk dihantar ke sebuah pelabuhan sebelum diangkut dengan kapal menuju ke Korea Selatan.
Kemalangan itu menyaksikan anggota polis terpinga-pinga mencari dan menyelamat belut berlendir tersebut serta akhirnya mereka sekadar merakamkan gambar suasana beberapa buah kereta ‘cair’ tersadai di laluan berkenaan.
Perkhidmatan bomba Depoe Bay dilaporkan terpaksa menggunakan sebuah jentolak untuk mempercepatkan proses pembersihan jalan raya manakala ‘nasib’ haiwan itu tidak pula diketahui. – Agensi.

Bisnes Payung, Tapi Hampir 300,000 Payung Hilang Misteri.


Hampir 300,000 Payung Hilang Misteri

BEIJING – Sebuah syarikat yang berpangkalan di Shenzen baru-baru ini mengumumkan ia kehilangan sebahagian besar 300,000 payung yang disediakannya sejak beroperasi pada April lalu.

Syarikat tempatan itu, Sharing E Umbrella, merupakan sebuah firma China yang menawarkan khidmat penyewaan payung kepada orang ramai.
Dengan sejumlah deposit, pelanggan boleh menggunakan barangan yang ditawarkan untuk sewaan bagi tempoh tertentu bagi bayaran sehari dan denda sekiranya mereka gagal memulangkan semula pada waktu yang ditetapkan.
Seorang ahli perniagaan dari Shenzen mengasaskan Sharing E Umbrella sejak April lalu, mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan penyewaan basikal.
Setakat Jun lalu, perkhidmatan yang ditawarkan beliau beroperasi di 11 bandar utama di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Guangzhou.
“Payung tidak seperti basikal… basikal boleh diletakkan di mana-mana, tetapi payung memerlukan pagar atau tempat untuk menggantungkannya.”
Disebabkan itu, ramai pelanggan mungkin membawa pulang payung yang disewa itu ke rumah masing-masing.
Sharing E Umbrella melaporkan kehilangan sebahagian besar 300,000 payungnya. –odditycentral/mStar Online

Saturday, 15 July 2017

Iklan Indoeskrim Ini, Cetuskan Sensasi Se Dunia,. Lihat..


IKLAN komersial daripada produk ais krim keluaran Indonesia, Indoeskrim ternyata mencetuskan sensasi dalam kalangan pengguna media sosial di seluruh dunia.

Lapor Tribunnews, klip rakaman berdurasi tiga minit itu sehingga kini menduduki tangga kelima dalam senarai trending video Youtube, yakni telah ditonton lebih sejuta kali sejak dimuat naik minggu lalu.
Bertajuk “Kisah Legenda Nusantara“, ia memaparkan cerita rekaan kononnya perselisihan di antara dua beradik bangsawan yang berebutkan makanan.
Menerusi rakaman, salah seorang pengawal dilihat melaporkan kejadian itu dengan menggunakan walkie talkie kepada seorang wanita dipercayai permaisuri, yang segera campur tangan persengketaan dua anaknya itu.

Apabila permaisuri itu gagal menghentikan pertarungan, wanita itu segera memanggil suaminya pula menggunakan telefon pintar iPhone yang dihiasi dengan cengkerang unik.
Raja yang  kebetulan sedang menunggang burung garuda, menerima panggilan kecemasan dari permaisuri lalu mengenal pasti lokasi mereka menggunakan Google Maps.
Dia kemudian menghentikan pertarungan anak-anak mereka dengan mempersembahkan kabinet yang penuh berisi ais krim.
Sehingga kini, iklan itu menerima pelbagai komen lucu daripada netizen yang rata-ratanya terhibur biarpun jalan ceritanya agak ‘pelik’ berbanding kebiasaan iklan lain.
Malah ada netizen beranggapan ia mungkin sebagai taktik strategi pemasaran syarikat yang kreatif dan unik untuk menarik minat pembeli. 

The Starling pusat beli-belah dalam taman













Persembahan The Hands Percussion menyemarakkan acara perasmian pusat beli-belah the Starling di Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Aktiviti membeli-belah semakin rancak dengan pembukaan rasmi sebuah lagi pusat beli-belah baharu, the Starling di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bersesuaian dengan konsepnya sebagai pusat beli-belah dalam taman, suasana hutan hujan tropika cuba dihidupkan semasa pelancaran rasmi yang bertemakan Meraikan Keharmonian.
The Starling telah melalui transformasi hebat bagi sambutan itu. Replika bunga Rafflesia, bunga eksotik yang hanya dijumpai di Asia Tenggara berserta replika haiwan seperti orang utan, burung enggang dan rama-rama dihiasi untuk menaikkan lagi suasana hutan hujan tropika.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd., Teo Soo Kiat berkata, pihaknya meraikan pelancaran besar-besaran itu selama tiga hari.
“Kami meraikan pelancaran besar-besaran the Starling, sebuah pusat beli-belah yang menyatukan kehijauan alam dengan persekitaran membeli-belah. Ia memberikan pengalaman beli-belah kepada pengunjung,” katanya.
The Starling telah dilancarkan Soo Kiat bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd., Teo Chiang Khai diiringi ahli-ahli lembaga pengarah Kumpulan See Hoy Chan Sdn. Bhd.
Sempena pelancaran itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan perkusi terkenal The Hands Percussion yang telah menempa nama dengan persembahan luar biasa. Persembahan ini diperhebatkan lagi dengan kemunculan khas Jumero, kumpulan Indie akustik tempatan yang telah memenangi Anugerah Vima ‘Best Pop Song 2016’ Award baru-baru ini.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan Mathew Ngau, seorang ‘sape master’ yang diiktiraf sebagai warisan negara oleh kerajaan Malaysia. Persembahan Mathew Ngau turut diiringi oleh anak muridnya, Alena Murang dan kumpulan muzik popular irama tradisi dan Borneo, At Adau.
Seiring dengan konsep pusat beli-belah iaitu keharmonian dengan alam semula jadi, barisan pemuzik yang kerap bermain pada Sarawak Rainforest Festival ini diterbangkan khas ke Semenanjung.
The Starling bukan sekadar pusat beli-belah biasa. Ia menempatkan dua taman hijau yang dipanggil Chirp Park pada aras bawah dan Sky Park pada aras bumbung. (Kosmo!)

Friday, 14 July 2017

Mamee dari Melaka ke persada dunia













Sharszany (kanan) dan Nadia Jasmon menunjukkan pelbagai produk keluaran Mamee di ibu pejabat Mamee di Subang Jaya baru-baru ini.
Kisah hebat empayar Mamee bermula lebih 45 tahun lalu. Seorang jurujual kereta terpakai tiba-tiba terjun ke dalam bidang perniagaan mi kering atas pujukan seorang rakan yang yakin bidang itu mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam tahun-tahun mendatang.
Pang Ching Hin (kini Datuk) hakikatnya tidak mengetahui apa-apa tentang bisnes makanan apatah lagi mi kering pada waktu itu.
Namun, berbekalkan pengalaman berniaga kereta terpakai, beliau nekad memulakan kehidupan baharu bergelar tauke mi kering menggunakan jenama Lucky.
Bak kata-kata hikmah, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan. Perniagaan kecil-kecilan mi keringnya mengalami kerugian. Jualan Lucky tidak laris di pasaran.
Namun Chin Hin enggan berputus asa. Suatu hari dia memandu kenderaan sebelum meletakkan keretanya di hadapan sebuah sekolah di Melaka. Sambil berteleku di dalam kereta, Chin Hin sebenarnya membuat pemerhatian mengenai tabiat sekumpulan pelajar di sekolah itu.
Empayar
 CHINg HIN (tiga dari kanan) bersama dengan cef popular, Cef Ismail semasa melancarkan produk Mamee Chef perisa Lontong di Kuala Lumpur pada tahun 2015.




Gelagat beberapa pelajar yang begitu ghairah menikmati mi segera mentah menangkap perhatian Chin Hin. Lantas muncul idea baharu bagi memberi nafas buat perniagaannya yang kini nyawa-nyawa ikan.
Selepas lebih empat dekad, Chin Hin tidak menyangka itulah detik awal kepada sebuah legasi yang bukan sahaja menghidupkan kembali syarikatnya, malah menjadi sebuah empayar hebat.
Malah lebih manis menggunakan maskot raksasa (monster) biru, produknya begitu dekat dan menjadi nostalgia di hati pelbagai generasi rakyat di negara ini.
“Sewaktu mula-mula berkecimpung dalam industri mi kering, ia sememangnya asing bagi kami yang tidak tahu menahu langsung selok-belok bidang ini.
“Namun saya sendiri melihat tekad ayah untuk terus berusaha hingga berjaya meskipun penerimaan jenama dan jualan dalam kalangan orang ramai pada mulanya kurang menggalakkan,” ungkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd, Tan Sri Pang Tee Chew yang juga anak sulung Chin Hin ketika ditemui Kosmo! di Subang, Selangor baru-baru ini.
Chin Hin, 86, kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker.
Bagi mengkomersial dan membawa tuah kepada produk mereka, jenama Lucky pada tahun 1972 ditukar kepada Mamee.
“Ayah jenis orang yang suka memerhati sekeliling. Selain idea snek mi segera, jenama Mamee juga tercetus selepas melihat anak-anak sering memanggil ibu dengan sebutan mommy.
“Dari situlah akhirnya terhasil Mamee Monster yang masyhur dan dikenali sehingga hari ini,” katanya yang turut berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan sebelum berkembang kepada Pacific Food Products dan kini Mamee-Double Decker.
Tee Chew juga menghargai pengorbanan dan jasa ayahnya yang bersusah payah mengumpul duit untuk memastikan dia dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan bekerja di sebuah syarikat mi segera di sana.
“Ayah mahu saya mengutip pengalaman di Jepun sebelum pulang ke Malaysia membantu bisnes Mamee.
“Selain saya, Mamee juga digerakkan oleh adik-beradik ayah yang lain termasuk Datuk Wira Pang Tee Nam yang menjadi Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan mendiang Pang Tee Suan. Hari ini bisnes Mamee turut disertai oleh generasi ketiga keluarga Pang,” ujarnya.
Kata Tee Chew, Kumpulan Mamee mempunyai lebih 2,000 kakitangan dengan kilangnya dan ibu pejabatnya di Ayer Keroh, Melaka. Mamee juga mempunyai pejabat di Subang dan Kuantan, Pahang serta memiliki kilang di Indonesia dan Myanmar.
Namun, lebih membanggakan sayap antarabangsa Mamee yang diinisiatifkan oleh anak Malaysia itu bukan setakat menjengah ke satu atau dua buah pasaran luar negara.
Katanya, selain Mamee Monster, syarikat Mamee telah membina 10 jenama dan lebih 100 produk untuk lima kategori iaitu snek, mi segera, minuman, susu kultur dan biskut.
Maskot
 CHIN HIN memulakan bisnes makanan mi kering pada tahun 1972 yang kini berkembang menjadi sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan pelbagai produk seperti Mamee Chef, minuman Cool Tea dan kerepek kentang Mister Potato.


Antara produk di bawah Mamee-Double Decker termasuklah Mister Potato yang menjengah pasaran pada tahun 1992 iaitu Mamee Chef, Perfecto, Cool Tea, Nutrigen, Corntoz, Double Decker dan terbaharu, biskut Mamee Monster Biskidz.
“Mamee Monster menjadi snek kegemaran rakyat sejak sekian lama. Jualan Mamee Monster adalah sebanyak 35 juta peket sebulan di Malaysia dengan secara keseluruhannya 60 juta peket secara keseluruhan di pasaran antarabangsa.
“Satu lagi produk utama Kumpulan Mamee ialah kerepek kentang Mister Potato. Jenama kerepek ini selepas melalui pelbagai penjenamaan termasuk kisah hebat menjadi rakan penaja Global Manchester United itu telah dijual di 100 buah negara.
“Lebih membanggakan, Mister Potato mampu menyaingi jenama kerepek kentang antarabangsa apabila kini menguasai 30 peratus pasaran di Malaysia,” kata Tee Chew.
Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat, Mamee-Double Decker, Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata, produk Mamee Monster yang menggunakan maskot raksasa biru sememangnya sangat sinonim di hati kebanyakan rakyat Malaysia.
Kata Sharszany, pada asalnya terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan visual yang dicadangkan sebagai maskot produk snek Mamee itu.
“Namun akhirnya, maskot monster biru dengan sebatang gigi serta berwajah comel dan kelihatan ingin dipeluk telah terpilih. Ternyata impak maskot dan Mamee Monster sangat tinggi memandangkan Mamee antara produk terawal memperkenalkan maskot.
“Maskot biru ini juga diperagakan untuk pelbagai program baik di sekolah-sekolah atau kawasan tumpuan ramai di seluruh Malaysia. Sehingga kini, monster biru ini juga sangat terkenal di Australia, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya menceritakan mengenai legasi maskot raksasa biru itu.
Kejayaan menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkenal dunia, Manchester United selama tiga tahun dari tahun 2011 hingga 2014 pula meninggalkan impak besar kepada satu lagi produk Kumpulan Mamee iaitu Mister Potato.
“Keputusan menjenamakan semula Mister Potato dan menjadi rakan penaja Snek Rasmi Global Manchester United memperkenalkan lagi produk cip kentang kami bukan sahaja dalam kalangan pengguna di Malaysia bahkan ke peringkat antarabangsa.
“Pada ketika itu, pembungkusan produk Mister Potato menggunakan gambar tiga pemain Manchester United iaitu Wayne Rooney, Park Ji-sung and Ryan Giggs.
“Produk Mister Potato juga terpampang di papan-papan digital di sekeliling Stadium Old Trafford setiap kali perlawanan Liga Inggeris berlangsung,” katanya kepada Kosmo!.
Salah satu produk terkini keluaran Mamee ialah Mamee Monster Biskidz iaitu biskut DHA pertama di Malaysia.
Sharszany berkata, Biskidz mengandungi nutrisi-nutrisi seimbang dalam membentuk perkembangan minda kanak-kanak terutamanya yang berusia tujuh hingga 12 tahun. (IH)